Wednesday 31 December 2008

Aku Sampai Di rumah Pak Usu


Walaupun hari telah beransur senja tetapi matahari masih lagi memancarkan cahayanya. Terik panasnya masih terasa. Kalau kereta tidak ada penghawa dingin tentu badan basah kuyup dimandi peluh.

Setengah jam lagi sampailah aku ke rumah Pak Usu. Mungkin orang-orang tengah sebuk menyiapkan persediaan untuk keduri dan mungkin juga sedang sebuk menyediakan makanan untuk malam nanti. Tentu malam ini rumah Pak Usu akan penuh tetamu yang terdiri dari anak cucunya dan juga anak-anak saudaranya yang akan pulang dan setengahnya telah pun pulang.

Aku dapat bayangkan betapa girangnya Pak Usu menyambut kedatangan saudara-saudara yang pulang terutama anak-anak cucunya. Bukannya mudah untuk dapat berkumpul beramai-ramai begini. Malahan pada hari raya pun belum tentu dapat menghimpunkan semunya kerana kadang-kadang ada antara mereka yang tidak pulang ke kampung tetapi pergi beraya di rumah mertua.

Seingat ku hanya sekali kami pernah berhimpun beramai-ramai iaitu kira-kita sepuluh tahun yang lalu. Hari itu hari raya haji. Aku menyumbangkan seekor lembu untuk dikorbankan. Kami cuba untuk melakukannya pada tahun-tahun berikutnnya tetapi tidak berjaya. Maklumlah kalau sudah jauh-jauh ini payah untuk mendapat kata sepakat.

Kalau pertemuan sepuluh tahun dulu, atuk masih ada dan dialah satu-satunya yang merupakan tunggak dalam keluarga kami. Tetapi hari ini atuk sudah tidak ada. Yang paling tua dalam keluarga kami sekarang ialah Mak Long. Mak Long pun sekarang sudah tidak tinggal di kampung sejak suaminya meninggal tiga tahun yang lalu. Dia sekarang duduk dengan anak-anak di Kuala Lumpur.

Di kampung hanya tinggal Mak Ngah dan Pak Usu sahaja. Rumah Mak Ngah bersebelahan dengan rumah Pak Usu. Mak Ngah pun tinggal dengan anaknya kerana suaminya telah lama meninggal dunia. Seingat ku suami Mak Ngah meninggal, semasa umur ku baru lapan tahun. Aku masih ingat lagi beberapa hari sebelum suami Mak Ngah yang aku panggil Pak Teh meninggal, aku bersama aruah ayah datang melawatnya. Emak masa itu tidak dapat datang kerana masih dalam pantang kerana baru melahirkan adik ku.

Simpang ke pekan Sabak Bernam telah pun aku lewati. Ini bererti dalam dua kilometer lagi sampailah aku di rumah Pak Usu. Aku kena memperlahankan kereta takut terlepas pula rumah Pak Usu nanti, maklumlah jarang-jarang balik. Jam telah menunjukkan pulul 5.30 petang.

No comments:

Post a Comment