Setelah sepuluh tahun ayah dan emak pergi ke Mekah, aku masih tidak dapat menghantar atuk untuk ke sana. Umurnya pun telah menjangkau 95 tahun tetapi dia tetap sehat dan kuat. Dalam masa 10 tahun itu bukanlah aku tidak berduit sangat tetapi untuk menghantar atuk ianya memerlukan seseorang untuk menemaninya. Maklumlah umurnya telah begitu lanjut. Jadi kalau untuk menghantar atuk brerti aku terpaksa menyediakan perbelanjaan untuk dua orang. Ini ada masalah sedikit. Aku di waktu itu baru berumah tangga dan memerlukan banyak wang untuk memulakan hidup baru.
Sepuluh tahun selepas ayahku ke Mekah, dia telah jatuh sakit. Sakit yang membawa sebab dan musabab untuk dia meninggalkan dunia ini. Penyakit kencing manis yang diketahuinya semasa pemeriksaan bakal haji sepuluh tahun dulu, kini telah benar-benar merosotkan kesihatannya.
Semasa dia masih hidup dia telah beramanah kepada anak-anaknya supaya jasadnya dikebumikan di Kampung Sungai Keli iaitu kampung kelahirannya. Dia mahu jasadnya disemadikan dalam satu kawasan bersama ibu, ayah dan adik beradiknya. Kampung Sungai Keli terletak di negeri Perak iaitu di seberang pekan Sabak Bernam.
Sebelum dia meninggal dunia dia telah meminta izin dari adik iparnya iaitu adik bongsu emak aku untuk menumpang di rumahnya. Dia memberi tahu pak usu bahawa dia mahu mati berdekatan dengan tanah kuburnya, supaya nanti tidak timbul pertikaian dimana dia patut dikebumikan. Ini kerana banyak orang berpendapat, berdosa mengkebumikan mayat jauh dari tempat kematiannya.
Ayah seolah-olah mengetahui bahawa ajalnya telah hampir menjemputnya. Kami sekeluarga tidak membantah kehendaknya itu tetapi mengikuti sahaja dengan hati yang berat. Sememang ayah ku ini seorang ketua keluarga yang cukup berotoritas. Arahan dan kehendaknya tidak siapa yang berani membantah.
Setelah dua minggu ayah ku di rumah pak usu, pada pukul 3.00 pagi bulan November 1989 dia telah menghembuskan nafasnya yang terakhir. Pergilah dia menghadap tuhannya dengan jasadnya kami semadikan di tanah perkuburan Sungai Keli sepertimana yang telah diamanahkannya.
Tinggallah emak dalam kesugulan kerana suami tempatnya bergantung telah pergi untuk selama-lamanya. Kami adik beradik cuba memberikan keyakinan kepada emak untuk meneruskan hidup walaupun tanpa ayah. Anak-anaknya semua telah besar dan berumah tangga. Kami memberi kebebasan kepadanya memilih rumah anak yang mana yang dia lebih selesa untuk tinggal. Emak masih kebingungan dan tidak tahu untuk membuat keputusan.
Bulan puasa telah hampir tiba. Aku mencadangkan kepada emak untuk pergi ke Mekah membuat umrah bagi mencari ketenangan. Emak nampaknya bersetuju dengan cadangan ku itu tetapi dia memberi pandangan daripada membuat umrah lebih baiklah buat haji kerana bulan haji pun telah hampir.
Aku terus bersetuju dengan cadangan emak itu. Inilah masanya untuk aku memenuhi janji ku kepada atuk untuk menghantarnya ke Mekah bagi melengkapkan rukunnya sebagai seorang Islam. Tetapi masalahnya tidak ada muhrim yang akan menemani emak dan atuk ke Mekah nanti. Aku kemudianya bersetuju untuk membiayai perbelanjaan pak usu supaya dia boleh jadi muhrim kepada emak dan atuk. Tetapi kemudian timbul pula rasa kasihan kepada Mak Usu yang terpaksa ditinggalkan. Melihatkan keadaan itu adik perempuan ku bersedia untuk membiayai sebahagian dari perbelanjaan Mak Usu dan sebahagiannya lagi ditanggung oleh anak-anaknya yang lain.
Memandangkan bulan haji tinggal 4 bulan lagi dan tidak mungkin aku boleh menghantar mereka melalui proses biasa, maka aku membuat keputusan untuk bertemu dengan seorang kawan yang rapat dengan Tan Sri Hamid Othman yang masa itu Menjadi Menteri Di Jabatan Perdana Menteri yang menjaga hal ehwal agama Islam.
Dengan pertolongan Tan Sri Hamid Othman itu, mereka telah diberikan tempat untuk menunaikan haji pada tahun itu. Berita gembira ini telah aku sampaikan kepada emak, atuk, pak usu dan mak usu. Tidak dapat aku gambarkan bagaimanakah riangnya perasaan mereka masa itu, terutama atuk yang mana harapanya yang telah hilang itu bersinar kembali. Itulah yang dikatakan rezki yang tidak boleh difikir dan dijangkaui oleh perancangan manusia.
Berkali-kali atuk menyatakan kepada ku, "kalau tidak kerana kamulah, tak kan boleh aku ke Mekah ni, katanya sebagai tanda terima kasihnya.
"Ini semua kerja Allah tuk", Dia yang menentukan segala-galanya, kata ku. "Kalau kita ada rezki akan sampai juga kita", kata ku menambah.
Tanpa aku sedari aku telah melewati pekan Sekincan. Kira-kira 45 minit lagi akan sampailah aku di rumah pak usu. Cuaca masih lagi panas walaupun senja semakin hampir. Aku terus memandu sambil melayan kenangan-kenangan lama yang datang bertandang difikiran ku.
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
Salam,ni cerpen bab by bab ttg kisah hidup ye :)
ReplyDeleteNuryz, entahlah, saya tulis apa yang terlintas dibenak saya sahaja. Terima kasih kerana sudi membacanya.
ReplyDeletealhamdulillah..
ReplyDeletejika ini kisah benar saudara..satu ganjaran besar utk saudara..
tkaseh singgah dan memberi komen d blog sy..