Matahari masih memancar terang walaupun hari semakin petang. Aku meneruskan perjalanan dengan hati yang begitu terusik. Kenangan zaman kanak-kanak bermain-main difikiran ku. Wajah tua atuk masih jelas terbayang. Dua bulan yang lalu aku juga melalui jalan ini untuk pergi menatap wajahnya yang terakhir sebelum disemadikan.
Hari ini aku datang lagi tetapi bukan untuk menatap wajah atuk tetapi untuk menghadari kenduri kahwin anak Pak Usu. Aku tidak tahu perasaan orang lain. Perasaan emak, perasaan anak-anaknya, perasaan cucu-cucunya dan perasaan Pak Usu. Apakah mereka merasa kehilangannya. Tetapi aku pasti, aku tidak segembira semalam atau sebelum bertolak tadi. Kini hati ku seolah dibalik-balik oleh kenangan lama.
Semakin perjalanan ku makin hampir dengan rumah Pak Usu, hati ku bertambah sebak. Wajah atuk tidak putus-putus datang bermain difikiran ku. Teringat aku peristiwa 10 tahun dahulu. Umur atuk masa itu dalam 95 tahun tetapi dia belum lagi ke Mekah menunaikan fardhu haji. Dia pun tidak ada lagi menaruh harapan untuk pergi ke sana. Dia tidak nampak ada jalan yang boleh membawanya ke sana. Hendak diharap anak-anak, hidup merekapun sekadar cukup menyambung hidup sahaja.
Diantara 4 orang anak-anaknya hanya emak aku sahaja yang telah pergi menunaikan haji, itu pun atas biaya anak-anak. Aku masih ingat lagi semasa menghantar ayah dan emak ke Mekah dulu. Hati ku sedih kerana tidak dapat menghantar atuk bersama. Maklumlah aku pun bukannya berduit sangat. Dapat menghantar emak dan ayah itu pun sudah seribu rahmat.
Tetapi aku pernah berkata kepada atuk. "Kalau saya ada duit lebih nanti, saya bawa atuk pergi ke Mekah ya", kata ku memujuk hati atuk semasa malam kenduri sebelum ayah dan emak berangkat ke Mekah dulu.
Sebagai orang tua yang usianya hanya menunggu masa untuk dijemput oleh tuhan, hanya ada satu sahaja harapan di dalam hatinya, iaitu dapat menunaikan fardhu haji yang merupakan rukun Islam yang kelima. Kalau boleh semasa menghadap tuhannya nanti biarlah kesemua rukun sebagai orang Islam itu telah dipenuhi. Tetapi apakan daya, belanja untuk memenuhi rukun yang kelima itu terlalu mahal bagi orang yang seperti kami.
"Suka hati engkaulah", katanya dengan nada seperti orang yang putus harapan.
"Aku ni kalau tidak adalah orang yang membawa, tak adalah nampaknya. Dengan apa nak dipergikan, makan pun disuapkan orang", katanya menyambung.
Sedih hati ku mendengar kata-kata atuk itu, tetapi masa itu aku juga tidak tidak punya wang untuk menghantarnya pergi bersama emak dan ayah. Aku sematkan niat ku untuk menghantarnya ke Mekah apabila telah ada wang nanti. Itu pun kalau umurnya panjang kerana semasa emak dan ayah pergi ke Mekah dulu, usia atuk telah pun menjangkau 85 tahun.
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment