Wednesday 28 January 2009

Perempuan terakhir.....

Sampainya aku di rumah, jam telah pun menunjukkan pukul 6.30 petang. Biasanya dari Sabak Bernam ke rumah ku, hanya mengambil masa dua setengah jam sahaja. Tetapi hari ini tiga jam setengah baru aku sampai di rumah. Mungkin kereta terlalu banyak kerana cuti Hari Raya Cina.

Aku sandarkan badan ku di sofa bagi melepasan lelah mengharungi perjalanan tadi. Terasa sangat letihnya. Sejak aku meninggalkan kampung dua puluh tahun yang lalu, jarang sekali aku memegang batang cangkul. Aku tidak ingat bila kali terakhir aku memegangnya.

Tetapi kerja-kerja membina pusara atuk pagi tadi benar-benar meletihkan. Mungkin usia ku yang semakin meningkat membuatkan aku jadi begitu.

Dalam redup petang aku melayani keletihan badan ku. Keadaan keliling agak sepi. Mungkin jiran-jiran pulang ke kampung atau bercuti di tempat lain. Dari jauh kedengaran sayup-sayup alunan lagu The way It use to be yang didendangkan oleh Engelbert Humperdic.

Lagu itu memang lagu kegemaran ku, malahan aku hafal senikatanya hingga sekarang. Seni katanya benar-benar menusuk jiwa ku.

Alunan lagu itu membongkar kisah silam ku sedikit demi sedikit. Wajah genit gadis Iban yang pernah ku puja satu ketika dulu bermain-main di fikiran ku. Sampai sekarang aku tidak pernah melupakan wajah itu. Tetap kekal, tetap subur diingatan. Alunan lagu ini menambahkan lagi pilu di hati bila mengenangkan saat manis bersamanya.

Aku tidak tahu di mana dia sekarang. Sudah begitu lama aku tidak menghubunginya. Mungkin dia telah pulang ke Sarawak atau mungkin masih lagi di Ibu Kota. Dia juga tidak lansung menghubungi aku. Mungkin kami telah berjaya memadamkan kisah-kisah silam yang sememangnya mahu kami lupakan.

Pertemuan yang tidak dirancang tetapi terjalin begitu akrab. Melalaikan kami bertahun-tahun tanpa ada penghujung. Pertemuan kami telah melewati masa. Masing-masing punya tanggung jawab untuk dilaksanakan. Akhirnya jiwa yang menjadi korban, menanggung derita berpanjangan.

Tuesday 27 January 2009

Khidmat terakhir untuk atuk...


Semalam genaplah 3 bulan atuk telah meninggalkan dunia ini. Semalam juga aku telah berada di kampung bagi melengkapkan khidmat ku kepada atuk. Selepas pengebumiannya dulu, kami hanya memacak dahan pokok kemboja sebagai tanda di pusaranya.

Bulan lepas telah ku tempahkan sepasang batu nisan yang dibuat dari marmar putih. Sebuah kotak yang dibuat dari batu tarazzo untuk dijadikan dinding pusaranya. Orang kampung ku memanggilnya "galang dapur". Aku pun tidak pernah ambil pusing dengan perkataan itu, apa makna sebenarnya.

Ada orang berpendapat, membuat binaan di pusara adalah khurafat. Ada setengah pendapat kata haram. Ada pula kata harus kalau ianya tidak terlalu besar. Pendek kata bermacam-macam pendapat yang boleh kita dengar menenainya. Tetapi orang yang berkemampuan terus membuat binaan di pusara-pusara keluarga mereka termasuk aku sendiri.

Aku tidak mahu membahaskan soal hukumnya. Tetapi aku pernah mendengar pendapat dari Al-marhum Tuan Guru Yahya Joneed. Dia kata tanah perkuburan adalah tanah wakaf. Kalau kita membuat binaan besar-besar, nanti kita akan mengambil hak orang lain yang juga akan mengunakan tanah wakaf itu.

Aku membuatnya binaan di pusara atuk hanyalah sekadar sebesar lubang kuburnya sahaja. Kalau pun aku tidak membuat binaan di atas tapak itu, tapak itu pun tidak digunakan buat masa ini. Sekiranya orang mahu menggunakannya di masa akan datang, orang boleh membuang binaan itu kerana ianya tidak berbentuk kekal.

Seawal pagi aku telah turun ke tanah wakaf bersama beberapa orang sepupu ku. Pusara atuk kami ratakan untuk meletakkan landasan bagi membolehkan kotak tarazo itu diletakkan. Tanah yang menimbus jasad atuk dahulu belum padat betul. Jadi kerja-kerja kami menjadi semakin mudah.

Sambil berkerja itu aku katakan kepada sepupu-sepupu ku. Masa atuk hidup dahulu tidak pernah dia tinggal di rumah batu tetapi bila dia sudah mati, kita buatkannya rumah batu siap berdinding tarazo dan batu marmar.

Menyebut rumah batu, masih terbayang aku wajah kegembiraan atuk semasa dia datang ke rumah emak kira-kira 10 tahun yang lalu. Dia datang kerana emak mengadakan kenduri kesyukuran kerana memasuki rumah baru yang baru aku buatkan untuknya. Selepas kenduri itu, sebulan atuk tinggal bersama emak.

Emak kata, selama sebulan dia tinggal dengan emak, tidak habis-habis dia memuji aku kerana membuatkan emak sebuah rumah batu. Atuk kata, sejuk perut emak mengandungkan aku.

Sebenarnya memang sejak dari kecil aku telah menanam cita-cita untuk membuatkan emak dan ayah ku sebuah rumah batu yang besar, setelah aku bekerja nanti. Mungkin kerana kemiskinan hidup keluarga ku, aku berazam sedemikian rupa. Alhamdulillah doa dan cita-cita ku dimakbulkan tuhan kerana memberikan rezeki yang lebih kepada ku.

Tanpa aku sedari matahari telah pun meninggi. Terasa perit belakang kami terkena pancaran matahari. Binaan di pusara atuk hampir siap. Selepas ini kami kena pulang semula ke rumah Pak Usu kerana ada majlis tahlil untuk arwah atuk.

Setelah semuanya selesai kami meniggalkan pusara atuk. Tinggallah atuk di rumah barunya yang tidak dapat dia dirasakan kenikmatannya.

Atuk masa ini sedang mereput dibaham oleh cacaing-cacing dan ulat. Yang tinggal hanyalah dua batu nisan yang mencatatkan tarikh lahir dan tarikh matinya.

Selepas dari ini mungkin hari raya nanti baru ada orang yang akan datang melawatnya atau sesekali mungkin Pak Usu akan singgah sebentar kalau orang-orang kampung yang meninggal.

Sampainya kami di rumah Pak Usu, tetamu telah pun memenuhi anjung rumah. Bacaan tahlil dan doa dimulakan. Selepas usai semuanya, aku bersiap-siap untuk pulang semula ke kota bagi meneruskan hidup yang masih jauh ini.

Tuesday 20 January 2009

The way it use to be....

Lonely table just for one

In a bright and crowded room

While the music has begun

I drink to memories in the gloom



Though the music still the same

It has a bitter sweet refrain

So play the song the way it use to be

Before she left and chang it all to sadness

And maybe if she's passing by the window

She will hear our love song

And the melody....



And even if the word are not so tender

She will always to remember

the way it use to be...



Friends stop by and say hello...

and I 'll laugh and hide the pain

It's quite easy till they go....

and the song begain again

Monday 19 January 2009

Antara hati dan fikiran.........

Sudah terlalu lewat waktu ini. Sudah hampir 12.30 pagi. Tetapi mata ku masih belum kelat. Fikiran ku merawang-rawang entah kemana. Aku cuba mengingatkan sesuatu supaya fikiran ku tidak jauh merawang-rawang. Aku mahu meletihkan mata agar ianya boleh terlelap.

Tiba-tiba wajahnya mengawang-awang difikiran ku. Aku tersentak seketika...Aku cuba melarikan tumpuan dengan memikir perkara-perkara lain. Aku tidak mahu wajah itu datang dalam hidup ku lagi. Telah bertahun-tahun aku cuba melupakannya. Sekarang aku telah punya kekuatan untuk tidak mengingatinya lagi.

Aku alihkan fikiran ku pada anak-anak Palestin yang sedang menderita sekarang ini. Aku bayangkan mereka mundar mandir dicelah-celah runtuhan bangunan mencari sesuatu untuk disuap bagi mengalas perut.


Aku cuba bayangkan tangan-tangan dan kaki-kaki kudung yang berlumuran darah. Aku bayangkan raungan ibu-ibu yang kehilangan anak dan aku bayangkan muntahan peluru-peluru Israel meratah tubuh-tubuh rakyat Palestin. Semuanya menggerunkan. Semuanya mengerikan.

Tetapi wajah tadi tetap mengintai-intai ruang fikiran ku. Dia menanti-nanti ruang yang kosong. Ia seolah-olah mahu aku melupakan penderitaan rakyat palestin buat sementara. Dia seperti mahu aku melayani kedatangannya.

Tetapi hati ku berkeras tidak mahu melayani wajah itu. Hati ku benar-benar telah terluka dengan wajah itu. Bertahun-tahun dia menanggung derita kerana wajah itu. Sekarang deritanya telah hampir sembuh. Dia tidak mahu luka yang sedang berparut muda itu, berdarah kembali.

Seminggu dua atau sebulan dua lagi, luka-luka anak Palestin itu akan kembali sembuh tetapi luka hati ku telah hampir tujuh tahun tetapi masih lagi terasa sakitnya. Terlalu sukar untuk menyembuhkannya. Sebab itu hati ku benar-benar tidak mahu wajah itu melintasi fikiran ku.

Tetapi fikiran ini nakal. Dia mahu wajah itu datang lebih dekat lagi. Dia tidak kisah untuk melupakan anak-anak Palestin itu buat sementara. Dia mahu memberi ruang kepada wajah itu untuk bertandang walau seketika. Dia mahu mengingat kisah-kisah manis masa-masa yang lalu.

Terlalu indah saat-saat itu. Aku tahu itulah saat yang paling gembira dalam hidup ku. Kalau boleh aku sendir mahu keadaan itu terus kekal. Tapi apakan daya, tuhan telah merencanakan yang lain.....

Hati dan fikiran ku berperang buat seketika. Hati ku tidak mahu wajah itu datang mengganggu lagi tetapi fikiran ku amat menginginkan wajah itu bertandang sebentar. Sudah terlalu lama ianya tidak datang terasa pula rindunya.

Hati ku juga memang merasakan kerinduan itu tetapi ia tahu, melayani kedatangan wajah itu bukanlah boleh mengubat hati yang rindu selama ini, tetapi kehadirannya akan menambahkan sengsara kepada jiwa yang telah bertahun-tahun menderita.

Sementara hati dan fikiran ku sedang berperang untuk mencari kata putus, wajah itu melayang-layang kian jauh dan akhirnya aku terlena hingga subuh. Aku terjaga dari tidur mendengar nama Allah sayup-sayup dilaungkan.

Thursday 15 January 2009

Catatan untuk anak-anak Palestin

Lama sudah aku tidak menulis atau menyambung cerita ku. Tuntutan hidup seharian, menyebabkan aku keletihan bila pulang ke rumah. Tidak ada masa terluang untuk aku mencurahkan ingatan ku di blog ini.

Ah...semua itu tidak penting. Ia hanyalah kenangan lama. Selagi otak ku masih boleh berfikir, bila-bila pun aku boleh mencatatnya. Bila aku kelapangan, akan ku coretkan lagi kisah-kisah silam ku.

Tetapi hari ini, kita tidak ada masa untuk mengingat kisah-kisah silam. Kisah-kisah silam ini hanya indah diingati bila masa-masa santai. Tapi hari ini saudara-saudara ku menderita di bumi Gaza. Masakan aku boleh bersantai mengingat kisah-kisah lampau.

Mereka sedang bertarung dengan maut sekarang. Tidak ada waktu untuk mengingat kesah-kisah lampau. Fikiran mereka berkecamuk antara hidup dan mati. Maut menunggu mereka dimana-mana. Kisah lampau mereka hanya derita,darah dan air mata.

Saudara-saudara ku di Gaza, aku mohon maaf kepada mu kerana tidak dapat membantu. Kita terpisah oleh batas-batas sempadan negara yang dipaksakan. Kalau pun terdaya untuk ku membantu, hanya sekadar seringgit dua yang ku titipkan melalui tabung-tabung bantuan.

Sayu hati ku melihat kamu berkejar ke sana ke mari mencari perlindungan dari peluru-peluru Yahudi gila itu. Sebak hati ku melihat tubuh kaku anak-anak yang belum tahu apa-apa.

Hanya doa sahaja yang dapat ku kirim;

Allah hum ma
In na naj aluka
Fi nu hu ri 'aq da ina
Wa na 'u zu bika min syuru rihim.

Allah hum ma
Bad did syam lahum
Wa far riq jam ahum
Wa syat tit kalima tahum
Wa zal zil 'aq da mahum
Wa sal lit 'alai him
Qal ban min Qilab

Ya Qahar
Ya Jabbar
Ya Muntaqin
Ya Allah
Ya Allah
Ya Allah

Allah hum ma
Ya munzilal kitab
Wa ya muj ria sahab
Wa ya ha zamal ahzab
Ih zim hum
Wan sur na
'Alai him