Jam telah menunjukkan pukul 3.00 petang. Aku masih lagi belum keluar dari rumah. Aku bercadang untuk keluar dari ibu kota sebelum pukul 4.00 petang. Aku tidak mahu bertembung dengan orang-orang yang keluar dari pejabat atau tempat kerja. Nanti parah jadinya tersepit dalam kesesakan. Maklumlah hari ini hari Jumaat dan musim cuti sekolah. Biasanya kereta lebih banyak dari biasa di jalan-jalan luar kota.
Untuk memastikan aku tidak terjebak dalam kesesakan nanti, lantas aku capai bag pakaian yang telah aku siapkan sejak malam tadi dan menghumbannya ke dalam kereta. Injin kereta aku hidupkan dan aku mulakan perjalanan ku menuju ke kampung.
Besuk Pak Usu akan membuat kenduri kahwin anak bongsunya. Inilah anak saudara emak aku yang paling bongsu sekali dari semua anak-anak saudaranya. Selepas ini tidak ada lagi kenduri kahwin untuk sepupu-sepupu ku. Sebab itu beria benar aku mahu pulang ke kampung menghadiri majlis kenduri itu.
Sebelum aku bertolak tadi, dua tiga orang sepupu ku menalipon, bertanyakan samada aku balik atau pun tidak. Mereka kebanyakannya telah pun berada di kampung kerana mengambil cuti hari ini. Emak aku awal-awal lagi telah pulang. Maklumlah ini merupakan kenduri kahwin penutup bagi anak adiknya. Pak Usu pun memang mahukan emak datang lebih awal. Bukan dia mahu emak ku membantu membuat kerja tetapi mungkin dia mahu menimbulkan suasana meriah sebelum majlis itu berlansung.
Tiba-tiba aku tersentak dari lonjakkan kegembiraan yang bermain-main difikiran untuk melihat kampung yang jarang-jarang aku kunjungi. Baru aku sedar pulangnya aku ke kampung kali ini aku tidak lagi dapat menatap wajah tua yang sering menanti setiap kali kepulangan ku.
Baru dua bulan yang lalu nenek ku yang aku panggil "atuk" pergi mengadap tuhannya dalam usia yang begitu lanjut. Usia masa kematiannya ialah 105 tahun. Mungkin dia merupakan orang yang paling tua di daerah Sabak Bernam pada masa itu.
Tiba-tiba hati ku jadi sebak bila teringatkannya. Kalau dia masih ada tentu masa ini dia akan bertanya-tanya pada cucu-cucunya yang lain, adakah aku telah sampai atau belum. Antara puluhan cucu-cucunya, akulah yang paling dekat di hatinya.
Sejak suaminya meninggal, atuk duduk dengan Pak Usu kerana Pak Usulah satu-satu anak lelakinya dan Pak Usu juga tidak mahu atuk duduk di rumah anak-anak yang lain.Pada hari raya setiap tahun, biasanya hari raya yang kedua aku akan datang menziarahinya. Ini kerana jarak rumah emak dengan rumah Pak Usu lebih kurang 100 km.
Mak Usu selalu bercerita, bila masak sahaja ketupat pada petang raya, atuk akan sebuk mencari bekas untuk mengasing ketupat yang akan disimpankannya untuk aku. Pernah satu kali dia simpan ketupat itu sampai basi kerana aku tidak datang. Namun dia tetap tidak memberikannya kepada orang lain.
Begitulah sayangnya dia kepada aku tetapi cucu-cucu yang lain memahami kenapa atuk sangat menyayangi aku. Mereka juga tidak kisah kalau atuk melebihkan aku dari cucu-cucu yang lain kerana selama hidupnya aku banyak memberi perhatian kepada atuk. Malah setelah matinya pun aku masih memberi keutamaan padanya. Minggu lepas aku telah menempah batu nisan yang diperbuat dari batu marmar untuk diletakkan di pusaranya pada cuti perayaan Tahun Baru Cina nanti.
Jam di kereta ku menunjukkan puluk 4.00 petang. Aku sekarang telah melewati pekan Sungai Buloh dan sedang menghampiri Bandar Kuala Selangor. Kereta di atas jalan tidak begitu banyak dan ini menyebabkan perjalanan ku menjadi lancar. Satu jam lagi akan sampailah aku di rumah Pak Usu. Tetapi hati ku tiba-tiba sahaja jadi kosong. Lonjakan kegembiraan sebelum bertolak tadi hilang entah kemana.
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment