Monday, 19 January 2009

Antara hati dan fikiran.........

Sudah terlalu lewat waktu ini. Sudah hampir 12.30 pagi. Tetapi mata ku masih belum kelat. Fikiran ku merawang-rawang entah kemana. Aku cuba mengingatkan sesuatu supaya fikiran ku tidak jauh merawang-rawang. Aku mahu meletihkan mata agar ianya boleh terlelap.

Tiba-tiba wajahnya mengawang-awang difikiran ku. Aku tersentak seketika...Aku cuba melarikan tumpuan dengan memikir perkara-perkara lain. Aku tidak mahu wajah itu datang dalam hidup ku lagi. Telah bertahun-tahun aku cuba melupakannya. Sekarang aku telah punya kekuatan untuk tidak mengingatinya lagi.

Aku alihkan fikiran ku pada anak-anak Palestin yang sedang menderita sekarang ini. Aku bayangkan mereka mundar mandir dicelah-celah runtuhan bangunan mencari sesuatu untuk disuap bagi mengalas perut.


Aku cuba bayangkan tangan-tangan dan kaki-kaki kudung yang berlumuran darah. Aku bayangkan raungan ibu-ibu yang kehilangan anak dan aku bayangkan muntahan peluru-peluru Israel meratah tubuh-tubuh rakyat Palestin. Semuanya menggerunkan. Semuanya mengerikan.

Tetapi wajah tadi tetap mengintai-intai ruang fikiran ku. Dia menanti-nanti ruang yang kosong. Ia seolah-olah mahu aku melupakan penderitaan rakyat palestin buat sementara. Dia seperti mahu aku melayani kedatangannya.

Tetapi hati ku berkeras tidak mahu melayani wajah itu. Hati ku benar-benar telah terluka dengan wajah itu. Bertahun-tahun dia menanggung derita kerana wajah itu. Sekarang deritanya telah hampir sembuh. Dia tidak mahu luka yang sedang berparut muda itu, berdarah kembali.

Seminggu dua atau sebulan dua lagi, luka-luka anak Palestin itu akan kembali sembuh tetapi luka hati ku telah hampir tujuh tahun tetapi masih lagi terasa sakitnya. Terlalu sukar untuk menyembuhkannya. Sebab itu hati ku benar-benar tidak mahu wajah itu melintasi fikiran ku.

Tetapi fikiran ini nakal. Dia mahu wajah itu datang lebih dekat lagi. Dia tidak kisah untuk melupakan anak-anak Palestin itu buat sementara. Dia mahu memberi ruang kepada wajah itu untuk bertandang walau seketika. Dia mahu mengingat kisah-kisah manis masa-masa yang lalu.

Terlalu indah saat-saat itu. Aku tahu itulah saat yang paling gembira dalam hidup ku. Kalau boleh aku sendir mahu keadaan itu terus kekal. Tapi apakan daya, tuhan telah merencanakan yang lain.....

Hati dan fikiran ku berperang buat seketika. Hati ku tidak mahu wajah itu datang mengganggu lagi tetapi fikiran ku amat menginginkan wajah itu bertandang sebentar. Sudah terlalu lama ianya tidak datang terasa pula rindunya.

Hati ku juga memang merasakan kerinduan itu tetapi ia tahu, melayani kedatangan wajah itu bukanlah boleh mengubat hati yang rindu selama ini, tetapi kehadirannya akan menambahkan sengsara kepada jiwa yang telah bertahun-tahun menderita.

Sementara hati dan fikiran ku sedang berperang untuk mencari kata putus, wajah itu melayang-layang kian jauh dan akhirnya aku terlena hingga subuh. Aku terjaga dari tidur mendengar nama Allah sayup-sayup dilaungkan.

No comments:

Post a Comment