Huh...bersawang......
Entah berapa bulan aku tidak menjenguk di blog ku ini. Betullah aku ini bukan dari jenis yang berbakat untuk menulis dan berkarya. Kalau menulis dan berkarya ini untuk cari makan, alamat kebulurlah aku.....
Siang tadi aku bertemu dengan seorang kawan lama. Sama-sama belajar, sama-sama tinggal di rumah bujang, sama-sama merambu, sama-sama ke disko dan sama-sama huha-huha semasa muda-muda dulu. Sekarang pun belumlah tua sangat, tapi untuk masuk disko tu, rasanya dah tak tergamak dah....
Kebetulan hari ini kami mempunyai tujuan yang sama, iaitu memperbaharui pasport. Aku melakukannya kerana mahu menghantar anak belajar di luar negara dan dia memperbaharuinya kerana mahu ke luar negara untuk mengikuti latihan kerja. Barangkali untuk naik pangkat lagi.
Kawan ku ini seorang tentera. Aku lihat di bahunya ada dua bintang. Aku tidak tahu apa nama pangkatanya, cuma yang aku tau kalau sudah pakai bintang tu, kira orang besarlah dalam tentera.
Selesai sahaja kerja-kerja kami memperbaharui pasport, kami bersetuju untuk makan tengahari bersama. Banyak perkara yang mahu kami bualkan. maklumlah sudah hampir lapan tahun kami tidak berjumpa.
Tajuk pertama yang kami bualkan ialah bertanyakan soal teman-teman perempuan masa muda-muda dulu. Masa itu masing-masing ada "buah hati". "Buah hati" kami itu berkerja sebagai GRO di sebuah pusat hiburan di Kuala Lumpur.
Aku katakan pada teman ku itu, "sejak kamu pindah ke Labuan, aku pun jarang-jarang pergi ke pusat hiburan tu". Dua tiga bulan lepas tu, aku pun tidak lagi berhubung dengan mereka dan sampai sekarang aku pun tidak pernah lagi dengar berita mereka, entah hidup entah tidak.
"Kamu pula bagaimana?" aku bertanya.
"Sejak pindah ke Labuan, aku pun dah buang perangai gila tu", aku dah taubat dah..
"Kalau boleh aku tak mahu lagi terjebak dengan kerja gila tu", tambahnya lagi.
"Menghabiskan duit sahaja, kalau congak-congak balik rasanya duit yang kita taburkan pada GRO tu boleh beli rumah sebiji", aku menambah.
"Bangang, nak jadi hero konon"...... kawan ku menempelak
Kami ketawa berdekah-dekah sehingga mencuri perhatian pelanggan-pelanggan lain bila mengenangkan kebodohan kami masa itu.
Apa tak bangangnya, dia orang kerja kat situ dapat gaji. Dahlah makan, minum, rokoknya kita bayar, bila nak balik bagi tip lagi. Kadang-kadang tu GRO ni mengadu pulak nak pinjam duit. Mak sakitlah kat kampung, rumah sewa tak bayarlah, talipon kena potonglah, adek nak masuk sekolahlah dan seribu satu macam alasan lagi.
Yang sijantan tak sedar diri ni, berkejarlah hantar duit kat "buah hati" konon....
Belakang kita dia peluk jantan lain, gunakan ayat yang sama.
Tapi kita tidak boleh salahkan mereka kerana memang begitu cara mereka cari makan.
Tanpa kami sedari, jam telah menunjukkan hampir pukul 3.00 petang. Tidak terasa masa berlalu begitu pantas. Tidak puas kami bercerita mengenangkan cerita-cerita lama. Walaupun sekarang ini kami anggap perbuatan itu satu kebodohan tetapi disebaliknya terdapat cerita-cerita indah yang hingga sekarang masih menjadi kenangan manis buat kami.
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
Alhamdulilah..tambahan di bulan ramadhan yang mulia ni..
ReplyDelete